Peranan Empat anak Horus

Pelindung si mati

Adegan daripada Kitab Orang Mati Ani (s. 1250 SM) menggambarkan personifikasi peti kanopi di antara anak-anak Horus.[11]
Takar kanopi berkepala binatang dari Dinasti Kedua Puluh Enam (664–525 SM)
Adegan daripada Kitab Orang Mati Ani (s. 1250 SM) menggambarkan personifikasi peti kanopi di antara anak-anak Horus.[11]

Teks-teks dari zaman kemudian terus meminta perlindungan anak-anak Horus di akhirat seperti Teks Piramid. Dalam banyak teks, mereka dikatakan melindungi Osiris, dewa pengebumian yang kematian dan kebangkitannya dalam mitos menjadi ikutan dalamamalan pengebumian Mesir purba. Beberapa teks bahkan memanggil mereka anak-anak Osiris, bukan Horus.[12] Dalam satu upacara Kerajaan Pertengahan, yang dicatat dalam Papirus Ramesseum Dramatik, anak-anak Horus membantu pulihkan Osiris selepas dia mati, lawan pengikut-pengikut musuhnya Set, dan kembalikan Mata Horus yang hilang kepada bapa mereka.[13] Mantera 137 Kitab Orang Mati dari Kerajaan Baru (s. 1550–1070 SM) berkata kepada mereka, "sebagaimana kamu menyebarkan perlindunganmu ke atas bapamu Osiris-Khentiamentiu, sebarkanlah juga perlindunganmu ke atas [orang yang telah meninggal itu]". Dalam bahagian kesepuluh Kitab Gerbang Kerajaan Baru, satu teks pengebumian yang menggambarkan alam ghaib secara terperinci, empat anak Horus digambarkan memegang rantai yang mengikat makhluk jahat yang dipanggil "ular-ular wmmtj".[2]

Keempat-empat anak Horus telah diberikan hubungan khusus dengan organ si mati. Semasa proses memumia, empat organ dalaman—paru-paru, hati, perut dan usus—dikeluarkan daripada badan dan dikeringkan sebelum diletakkan di dalam makam, biasanya terasing daripada badan. Pada akhir Kerajaan Lama, organ mula diletakkan di dalam satu set balang yang dikenali sebagai takar kanopi dan semasa Tempoh Perantaraan Pertama (s. 2181–2055 SM), takarnya mula ditulis dengan teks yang menyeru anak-anak Horus.[9] Tiada teks menyatakan mana antara mereka yang melindungi organ mana. Makam yang mana takar dan organnya masih ada menunjukkan bahawa susunannya biasanya Imsety menjaga hati, Hapy paru-paru, Duamutef perut, dan Qebehsenuef usus, tetapi ada banyak variasi yang diketahui.[10] Contohnya, dalam beberapa kes Hapy menjaga perut dan Duamutef paru-paru.[2]

Merepa dipercayai dilindungi empat dewi, biasanya Isis untuk Imsety, Nephthys untuk Hapy, Neith untuk Duamutef, dan Selket untuk Qebehsenuef.[2] Pada zaman Kerajaan Tengah, pola ini boleh berbeza-beza dan kadangkala ada dewi yang berbeza, jadi Sendjet menjaga Duamutef dan Renenutet menjaga Qebehsenuef.[9] Dalam beberapa inskripsi dari keranda-keranda Kerajaan Pertengahan, dewi-dewi ini diseru untuk melindungi anak Horus "yang ada dalam diri kamu [si mati]", menunjukkan bahawa anak-anak Horus disamakan dengan organ dalaman serta pelindung mereka.[7]

Arah dan kawasan angkasa

Anak-anak Horus juga berkait dengan langit atau sebahagian kosmos menurut orang Mesir purba. Dalam Kerajaan Baru, mereka kadangkala dianggap sebagai bintang di langit utara[3] atau sebagai burung yang terbang ke empat penjuru dunia.[7] Bernard Mathieu berpendapat bahawa mereka bersamaan dengan empat bintang di sudut buruj Belantik (Saiph, Betelgeuse, Bellatrix, dan Rigel) dan dengan empat bintang di Ursa Major (Megrez, Phecda, Merak, dan Dubhe).[5]

Beberapa ahli kaji Mesir mencadangkan bahawa mereka ialah empat tiang yang menyokong langit dalam kosmologi Mesir.[7] Mereka juga dikaitkan dengan wilayah-wilayah Mesir: mereka kadang-kadang disamakan dengan Jiwa Nekhen dan Pe, dua dewa dewa yang mewakili pemerintah pradinasti Mesir Hulu di selatan dan Hilir di utara.[12] Hapy dan Duamutef dikaitkan dengan bandar Buto di Mesir Hilir, dan Imsety dan Qebehsenuef dengan bandar Nekhen di Mesir Hulu.[2]

Mesir purba percaya bahawa tubuh manusia dan alam semesta adalah serupa. Kepercayaan ini amat ketara dalam adat pengebumian. Semasa zaman Kerajaan Pertengahan, mayat dibaringkan supaya kepala menghala ke arah utara dan kaki ke arah selatan. Teks-teks yang menghiasi keranda dalam tempoh ini meletakkan dewa-dewa tertentu dalam kedudukan tertentu, mengaitkan mereka dengan arah tertentu. Imsety dan Hapy diseru di kepala keranda, Imsety di kiri dan Hapy di kanan, sekali gus meletakkan Imsety di timur laut dan Hapy di barat laut. Duamutef dan Qebehsenuef diseru di kaki keranda, Duamutef di kiri dan Qebehsenuef di kanan, sekali gus meletakkan Duamutef di tenggara dan Qebehsenuef di barat daya. Peti kanopi pada masa itu meletakkan setiap dewa dalam kedudukan yang setara. Orientasi ini menunjukkan bahawa anak-anak Horus dikaitkan dengan empat penjuru kosmos Mesir. Orientasi mereka mungkin berkaitan dengan kedudukan setiap organ: paru-paru dan hati duduk lebih tinggi di dalam tubuh, sesuai dengan kedudukan utara Imsety dan Hapy, manakala perut dan usus lebih rendah, sepadan dengan kedudukan selatan Duamutef dan Qebehsenuef.[7]

Kedudukan anak-anak Horus berubah pada zaman Kerajaan Baru, apabila mayat dikebumikan dengan kepala ke barat dan kaki ke timur. Pada beberapa keranda, Imsety dan Hapy kekal di kepala dan Duamutef dan Qebehsenuef di kaki tetapi dalam setiap pasangan, dewa yang berada di sebelah kiri dipindahkan ke kanan, dan sebaliknya. Untuk keranda lain, setiap anak lelaki Horus berada di dinding sisi keranda atau peti kanopi: Imsety di selatan, Hapy di utara, Duamutef di timur, dan Qebehsenuef di barat. Pemposisian kedua ini, dengan anak-anak Horus di empat sisi dan bukan empat penjuru, menghubungkan mereka dengan arah mata angin daripada penjuru alam semesta. Kewujudan kedua-dua sistem orientasi pada masa yang sama begini menunjukkan bahawa orang Mesir tidak membezakan empat penjuru daripada empat arah mata angin dengan tegar.[7]